-->

‘Kami kecewa Najib tidak dapat pengampunan penuh & dibebaskan serta merta’ – Yana Najib

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan, hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun. Dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Susulan itu juga, Najib dijangka akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Walaupun keputusan ini dilihat memberikan satu berita gembira buat beliau dan keluarga, namun beberapa penyokong dan anak perempuan Najib meluahkan rasa kecewa. Mereka menjangkakan bekas Perdana Menteri akan mendapat pengampunan penuh.

Perkara itu dinyatakan oleh Yana Najib menerusi hantaran di Instagram.

“Walaupun kami menghargai pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada 6 tahun yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan setelah pertimbangan pendapat dan nasihat.

“Kami berasa kecewa kerana Dato’ Sri Najib Razak tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

“Dato’ Sri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” tulisnya.

Katanya, semua pihak mengetahui isu SRC yang melibatkan bapanya merupakan satu ketidakadilan yang berlaku.

“Mereka yang mengikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lepas.

“Ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Dato’ Sri Najib dan keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan,” tulisnya.

Sementara itu menerusi ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan hantaran Yana dan meminta agar keputusan tersebut dipertimbangkan semula.

Sumber: Yana Najib

The post ‘Kami kecewa Najib tidak dapat pengampunan penuh & dibebaskan serta merta’ – Yana Najib appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar