-->

Bakar mercun di tengah jalan & halang laluan kenderaan lain, 12 geng kongsi gelap ditahan polis

Polis telah menahan 12 individu yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar mercun dan menggantung sepanduk yang berunsurkan gengsterisme di Jalan Kayu Ara, Damansara.

Kesemua suspek yang ditahan pada jam 10 malam kelmarin di sekitar Kampung Sungai Kayu Ara, berusia antara 22 hingga 68 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya terdahulu mengesan satu video berdurasi 22 saat tular di media sosial, menunjukkan seorang lelaki membakar mercun sambil menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat.

Video tersebut juga menunjukkan konvoi beberapa motosikal yang mengiringi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang menggantung sepanduk berunsurkan gengsterisme.

Berdasarkan maklumat dan risikan, pasukan polis telah berjaya menahan 12 individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Selain itu, polis turut merampas kenderaan Toyota Vellfire dan alat kawalan jauh yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Semakan lanjut mendapati enam daripada suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, dikehendaki dan kes komersil di Penampang, Sabah.

Tiga daripada suspek tersebut direman sehari, manakala selebihnya direman empat hari sehingga Isnin ini.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 7(A) Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Sumber: Harian Metro

The post Bakar mercun di tengah jalan & halang laluan kenderaan lain, 12 geng kongsi gelap ditahan polis appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar