-->

Mayat warga emas hidup semula selepas ambulans lalu jalan berlubang

Masalah jalan berlubang di India adalah satu masalah yang sering berlaku. Ia mengganggu kelancaran para pengguna jalan raya dan adakalanya ia boleh menyebabkan kecederaan serius dan juga kematian.

Tetapi dalam satu kes, sebuah keluarga dari Haryana mengganggap lubang jalan itu sebagai keajaiban.

Doktor sahkan kematian

Seorang lelaki India yang telah diisytiharkan mati oleh doktor didakwa kembali bernyawa selepas ambulans yang membawanya pulang ke rumah keluarga, terjatuh ke dalam lubang jalan yang dalam.

Darshan Singh Brar didakwa berhutang nyawa kepada sebuah lubang jalan. Darshan sebelum ini dikatakan tidak sihat selama beberapa hari, yang kemudian dibawa ke hospital berdekatan oleh cucunya.

Warga emas itu didiagnos dengan jangkitan dada yang teruk, yang juga memberi kesan kepada keadaan jantungnya. Doktor sedaya upaya cuba memberi rawatan terbaik, tetapi Darshan disahkan meninggal dunia selepas empat hari kemudian.

Jalan berlubang teruk

Salah seorang cucunya, Balwan Singh berkata, dia dimaklumkan oleh abangnya mengenai kematian Darshan dan mayatnya dibawa ke Nissing menggunakan ambulans untuk upacara pembakaran mayat.

Saudara mara dan penduduk setempat yang mengenalinya telah diberitahu mengenai berita itu dan berkumpul untuk meratapi kematian Darshan. Sebuah khemah juga didirikan dan makanan turut disediakan untuk mereka yang datang.

Ketika ambulans dalam perjalanan ke Nissing, kenderaan itu terjatuh ke dalam lubang jalan. Dan beberapa saat kemudian, abang Balwan yang sedang menjaga jasad datuknya terkejut apabila melihat lelaki berusia 80 tahun itu menggerakkan tangan.

Dia terus memeriksa denyutan nadi dan merasakan datuknya masih hidup, lalu mengarahkan pemandu ambulans membawa mereka ke hospital terdekat.

Masih hidup

Doktor mengesahkan Darshan masih hidup dan dirujuk ke hospital pertama yang merawatnya sebelum ini. Keadaan Darshan dilaporkan masih kritikal, namun dia tetap berjuang untuk terus hidup dan mampu bernafas sendiri.

“Ini adalah keajaiban, sekarang kami berharap datuk saya cepat sembuh.

“Semua yang hadir untuk meratapi kematiannya mengucapkan tahniah kepada kami, dan kami meminta mereka untuk makan makanan yang telah kami sediakan. Ini adalah anugerah Tuhan, kami berharap datuk akan sembuh,” kata Balwan.

Sumber: Oddity Central

The post Mayat warga emas hidup semula selepas ambulans lalu jalan berlubang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar