-->

Mayat wanita ditemui disimen dalam kolah bilik air, 2 lelaki warga asing sedang dikesan

Mayat seorang wanita yang dipercayai warga asing, ditemui ditanam dalam simen di bilik air, sebuah rumah rumah di Kampung Pandamar, Pandamaran, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penemuan itu di mana pihaknya menemui satu rangka manusia dalam keadaan disimen dalam kolah tersebut.

“Rangka itu dipercayai milik wanita dan kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat yang dijangka selesai pada Selasa,” katanya.

Rumah pernah disewakan kepada 2 lelaki warga asing

Siasatan awal mendapati, rumah tersebut pernah disewakan kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun. Pada bulan Oktober, dua lelaki berkenaan memaklumkan kepada pemilik rumah berumur 66 tahun bahawa mereka mahu berpindah keluar.

Pemilik kemudian datang membuat pemeriksaan sebelum menyewakan rumah tersebut kepada penyewa baharu. Ketika pemeriksaan, dia menyedari terdapat binaan tambahan di dalam bilik air, lalu bertanya kepada penyewa lama.

Menurut penyewa lama, kolah tersebut dicemari dengan air bangkai tikus, menyebabkan mereka terpaksa membuat binaan tambahan.

Pemilik tidak mengesyaki apa-apa lalu menyewakan rumahnya kepada penyewa lain iaitu pasangan suami isteri.

Pekerja maklumkan ada mayat dalam kolah

Pada November 2023, pemilik telah meminta seorang pekerja warga asing mmebaiki bumbung rumah sewa itu. Semasa membayar gajinya, pekerja berkenaan memaklumkan terdapat mayat dalam kolah mandi.

Katanya maklumat tersebut diterima daripada seorang lelaki warga asing yang telah balik ke negara asal. Pemilik rumah sewa terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Polis tiba di lokasi dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor untuk mengeluarkan mayat daripada kolah itu.

Dengan bantuan peralatan khas, Bomba berjaya memecahkan simen tersebut 70 peratus dan menemui satu mayat wanita yang kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada polis.

Setakat ini seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Manakala, dua lagi suspek warga asing yang disyaki terbabit dalam kes itu juga telah dikenal pasti dan sedang dikesan.

Sumber: IPK Selangor, Harian Metro

The post Mayat wanita ditemui disimen dalam kolah bilik air, 2 lelaki warga asing sedang dikesan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar