-->

‘Kesalahan dia banyak’ – UMNO pecat Isham Jalil

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam (Rabu), dilaporkan telah memecat seorang ahli MKT, iaitu Isham Jalil, daripada parti itu serta-merta.

Keputusan itu dimaklumkan oleh salah seorang ahli MKT yang turut menghadiri mesyuarat itu, di Menara Dato’ Onn.

“Dia (Isham) dipecat,” katanya ringkas.

Bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada Isham dipecat daripada UMNO atau ahli MKT.

Sumber memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah parti mendapati Isham melakukan pelbagai kesalahan terhadap UMNO.

“Kesalahan dia banyak, dia suruh presiden dipecat dan letakkan jawatan. Dia kata UMNO, dia tak ikut keputusan parti, dia ajak presiden berdebat secara terbuka.


“Dan ini, saya rasa (mesyuarat) yang keempat dia tidak hadirkan diri,” katanya.

Protes selagi ada kerjasama bersama DAP

Terdahulu, Isham mengesahkan beliau kekal dengan pendiriannya untuk memprotes dan tidak menghadiri mesyuarat parti itu, termasuk yang diadakan malam Rabu walaupun dicabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir.

Isham menegaskan, beliau akan terus melakukan protes itu selagi Ahmad Zahid meneruskan kerjasama dengan DAP.

Ahmad Zahid sebelum itu mencabar Isham untuk menyuarakan bantahannya terhadap kerjasama dengan DAP pada mesyuarat MKT UMNO malam ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk kononnya ada segelintir pemimpin UMNO menjadi barua DAP yang menjadi punca parti itu ditolak oleh orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu lalu.

Sumber: Sinar Harian

The post ‘Kesalahan dia banyak’ – UMNO pecat Isham Jalil appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar