-->

3 tahun tinggal dalam stor sekolah, Guru Besar korbankan keselesaan diri demi anak-anak murid pedalaman Sabah

Pengorbanan guru kadangkala hanya dilihat melalui pengorbanan mereka dalam mendidik. Tetapi, ramai yang terlupa untuk berterima kasih dan menghargai pengorbanan lain seorang guru yang rela berkorban demi keselesaan orang lain.

Kisah realiti yang dikongsikan mengenai seorang Guru Besar di pedalaman Sabah menarik perhatian ramai. Disebalik senyum tawa seorang guru, cikgu George Odol terselit seribu satu rahsia.

“Guru Besar SK Ulu Ansuan, Telupid berkongsi keadaan tempat tinggalnya di stor sekolah selama lebih 3 tahun berkhidmat di sekolah tersebut.

“Cikgu George Odol menceritakan sekolah tersebut dibina pada 1999 tanpa rumah guru. Guru-guru terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung, dan kelas yang diubah suai. Kemudian PIBG telah membina dua buah rumah yang ‘ala kadar’ sahaja.

Pada tahun 2020, apabila beliau ditempatkan bertugas di sekolah tersebut, beliau terpaksa tinggal di stor pra-sekolah dengan keluasan 9×16 kaki.

“Agak sedih jugalah, seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja. Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi pra-sekolah.

Sumber gambar: The Sun

“Kata orang, apa boleh buat kami guru-guru Kadazan Dusun terpaksa korbankan keselesaan tinggal di kawasan pekan atau di bandar datang di sekolah-sekolah pedalaman kerana kebanyakan murid-murid di sekolah-sekolah pedalaman adalah suku kaum Kadazan Dusun.

“Jadi kalau bukan kami guru-guru Kadazan Dusun datang ke sini untuk mendidik murid-murid kita di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan,” katanya.

Jelasnya dia hanya menerima sahaja keadaan itu sebagai guru pedalaman.

“Inilah pengorbanan kami selaku guru-guru yang dihantar bertugas di sekolah-sekolah pedalaman negeri Sabah,” luahnya.

Walaupun pada penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu telah dibina, namun beliau memberi keutamaan kepada guru-guru yang berasal dari luar daerah Telupid.

Sumber: Sabah Info

The post 3 tahun tinggal dalam stor sekolah, Guru Besar korbankan keselesaan diri demi anak-anak murid pedalaman Sabah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar