-->

Tak puas hati ‘ditegur’ dengan bunyi hon, punca pemandu Saga pukul penunggang motosikal

Penunggang motosikal yang dipukul pemandu Proton Saga dalam video tular baru-baru ini tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun pada jam 12.44 pagi tadi.

Menurut laporan tersebut, mangsa menjelaskan dia terdahulu membunyikan hon pada kereta saspek yang memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

Pemandu Saga yang tidak berpuas hati dengan bunyi hon itu bertindak menghalang mangsa daripada meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat.

Saspek keluar dan terus menyerang menolak mangsa dari motosikal sehingga terjatuh, sebelum dicekik, ditumbuk di bahagian muka dan perut dan kakinya ditendang beberapa kali.

Tidak cukup dengan itu, saspek juga menolak dan menendang motosikal mangsa yang mengalami kerosakan.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir, tulang rusuk dan kaki.

Polis kini sedang giat mengesan saspek untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saspek diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan 03-33762222.

Sumber: Harian Metro

The post Tak puas hati ‘ditegur’ dengan bunyi hon, punca pemandu Saga pukul penunggang motosikal appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar