-->

Suspek rempuh anggota JPJ di Port Dickson, punyai 8 rekod kes jenayah dan dadah – Polis

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, mengesahkan bahawa penunggang motosikal yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Port Dickson, telah ditahan.

Suspek yang juga merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam SJR itu, ditahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menakutkan penjawat awam.

Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai lapan rekod kes jenayah dan dadah. Polis akan mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Port Dickson esok, bagi membolehkan suspek disiasat.

Terdahulu, suspek dilaporkan cuba mengelak SJR yang dbuat oleh JPJ di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson. Namun tindakannya itu mengundang kemalangan yang menyebabkan seorang anggota JPJ dirempuh.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bahu dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, siasatan JPJ Negeri Sembilan mendapati, suspek mempunyai dua senarai hitam yang masih aktif iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

Ekoran kejadian itu, JPJ telah menyita motosikal suspek dan satu laporan polis telah dibuat terhadap suspek yang menghalang tugas penjawat awam.

Sumber: Bernama

The post Suspek rempuh anggota JPJ di Port Dickson, punyai 8 rekod kes jenayah dan dadah – Polis appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar