-->

Pelajar nekad tikam guru di leher & lengan kerana tidak berpuas hati dengan markah ujian penilaian pertengahan semester

Seorang pelajar madrasah di Daerah Demak, Indonesia, nekad menikam gurunya kerana tidak berpuas hati dengan pemberian markah bagi peperiksaan penilaian pertengahan semester.

Lapor Tribun News, kejadian itu berlaku sekitar jam 9.30 pagi, Isnin, 25 September 2023.

Pengetua Madrasah Aliyah, Masrukin berkata, mangsa sebelum itu sedang duduk di dalam kelas sambil mengawasi para pelajar.

Tidak beberapa lama kemudian, suspek datang dengan menunggang motosikal dan terus masuk ke dalam kelas. Suspek sempat memberi salam terlebih dahulu sebelum mengambil pisau kecil di belakangnya.

“Mangsa sedang duduk di meja sambil mengawasi para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan.

“Suspek masuk ke kelas, sempat memberi salam sebelum menikam mangsa,” katanya.

Selepas melakukan jenayah itu, suspek terus mencampakkan senjatanya dan beredar dari tempat kejadian dengan motosikalnya.

Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami luka parah di bahagian belakang leher dan lengan kiri dengan luka tikaman sedalam 10 sentimeter. Mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Jelas Masrukin, suspek sememangnya dikenali sebagai pelajar yang nakal dan sudah lama tidak masuk ke kelas.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Kebonagung, Suwondo berkata, suspek nekad bertindak sedemikian kerana dendamnya terhadap mangsa.

“Suspek dipercayai selalu tidak hadir ke sekolah dan tidak menyelesaikan kerja sekolah yang diberi oleh mangsa.

“Suspek juga pernah ditegur dan dinasihat oleh mangsa, tetapi suspek tidak dapat menerimanya.

Ketika ini, polis masih giat memburu suspek yang melarikan diri selepas menikam gurunya.

Sumber: Tribun Jateng

The post Pelajar nekad tikam guru di leher & lengan kerana tidak berpuas hati dengan markah ujian penilaian pertengahan semester appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar