-->

Tampar anak saudara berkelakuan biadab sehingga mendatangkan kesakitan mekanik didenda RM900

Gara-gara menampar anak saudara berkelakuan biadab, seorang mekanik dijatuhkan hukuman denda RM900 oleh Mahkamah Majistret Muar.

Tertuduh, Mohd Fauzi Mohd Shahir, 39, terdahulu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut fakta kes, berlaku perselisihan faham di antara tertuduh dengan mangsa, Siti Nurhamizah Mohd Nor Khairi, 19, yang didakwa berkelakuan biadab.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Parit Jawa, jam 3.45 petang, 22 April, tertuduh bertindak menampar pipi mangsa sehingga menyebabkan kesakitan.

Kejadian itu disaksikan oleh beberapa ahli keluarga lain dan mangsa bertindak membuat laporan polis.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Noor. Tertuduh pula diwakili oleh peguam Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum hukuman dijatuhkan, Nor Hafizah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman paling ringan kerana anak guamnya mengaku bersalah, sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung empat anak dan ibunya. Malah telah mengaku menyesal dengan perbuatannya itu.

Majistret Analia menjatuhkan hukuman denda RM900 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sumber: Harian Metro

The post Tampar anak saudara berkelakuan biadab sehingga mendatangkan kesakitan, mekanik didenda RM900 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar