-->

Laporan psikiatri sahkah Yasin tidak waras ketika kejadian kes dadah abang puas hati dengan laporan kesihatan

Laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, tidak waras ketika kejadian membabitkan dadah tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin berkata, keadaan mental penyanyi itu bertambah baik. Sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas pertuduhan kes dadah.

8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan penyanyi nasyid itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk diperiksa tahap kesihatan mentalnya.

Terlepas hukuman gantung

Pada 31 Mac 2022, Muhammad Yasin, 48, yang terkenal melalui lagu ‘Mimpi Laila’ berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac tahun sama.

Bagaimanapun, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan sebelum didakwa atas tuduhan memiliki ganja.

Hakim menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes, manakala 28 serta 29 Ogos untuk bicara.

‘Syukur Yassin semakin sihat dan berisi’

Sementara itu, abang kandung kepada Yassin, Zain Sulaiman berpuas hati dengan keputusan laporan kesihatan mental adiknya.

Zain berkata, dia bersyukur melihat keadaan kesihatan adiknya yang kini sudah berisi dan semakin sihat. Berbanding dua bulan lalu yang mana berat badannya sekitar 48 kilogram (kg) dan nampak tulang.

Zain berkata Yasin kini mendapatkan beberapa ubat-ubatan serasi dengannya. Sekali gus mempengaruhi keadaan mental, fizikal dan emosi penyanyi lagu Mimpi Laila itu pada lebih baik.

Keluarga akan terus berdoa

Ditanya juga pesanan dititipkan Yasin kepada keluarga, Zain berkata, adiknya memohon agar terus banyak mendoakannya setiap masa dan memang itulah yang dilakukan keluarga untuknya.

“Kami sekeluarga juga akan terus menyokongnya (Yasin) 200 peratus. Kita dari awal sehingga akhir, insya Allah akan terus berada di belakangnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro

The post Laporan psikiatri sahkah Yasin tidak waras ketika kejadian kes dadah, abang puas hati dengan laporan kesihatan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar