-->

Dakwa Nabi Muhammad pegang jawatan Allah, orang ramai gesa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap puak ajaran sesat Sihulk

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa, fahaman dan ajaran sesat yang dibawakan oleh Suhaini Bin Mohamad atau Suhai Ibni Mohamad atau Si Hulk adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Antara fahaman dan ajarannya adalah, mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan. Selain turut menyatakan Nabi Muhammad tidak mempunyai kemaluan dan kelazatan melihat Allah (wajah Rasullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi Muhammad yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah.

Ajaran ini dikatakan sudah mula tersebar sejak tahun 2020 lagi. Namun ajaran dan fahaman ini mula menular kembali apabila dikatakan pengikutnya sudah mula makin berani menonjolkan diri.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Suhaini didakwa telah melarikan diri ke New Zealand.

“Suhaini telah berkali-kali mengucapkan secara terbuka bahawa Allah adalah Muhammad dan giat mengajarkannya kepada pengikutnya.

“Mereka menyebarkan ajaran ini melalui produk air Sihulk yang dilatari dengan propaganda membesar-besarkan pencipta produk dan teori-teori konspirasi dooms day,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihak yang berwajib diminta untuk mengambil tindakan dengan segera ke atas kumpulan ajaran sesat ini agar dapat dibendung gejala ini daripada terus menular.

“Guru mereka serta orang-orang kanan mesti dikenakan tindakan undang-undang secepat mungkin dan syarikat serta kumpulan mereka mesti dibubarkan,” tulisnya.

Sumber: Berita Harian, Noor Deros

The post Dakwa Nabi Muhammad pegang jawatan Allah, orang ramai gesa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap puak ajaran sesat Sihulk appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar