-->

Siasatan JTK Sabah mendapati majikan Exly tidak melanggar peraturan Ordinan Buruh Sabah

Beberapa hari lalu, seorang lelaki Exly Jailon, mendakwa majikannya hanya mengizinkannya mengambil cuti paterniti selama dua hari untuk menjaga isterinya yang baru bersalin awal bulan lalu.

Selepas beberapa hari kemudian, Exly yang baru pulang ke rumah selepas bekerja terkejut apabila mendapati isterinya sudah kaku dan bayi mereka menangis kelaparan di sisi jasad ibunya.

Dalam luahan Exly yang tular di media sosial mendakwa majikannya tidak berhati perut kerana enggan memberi cuti paterniti untuk tempoh yang lama. Malahan, dia mendakwa majikan memotong gajinya selama 13 hari kerana tidak datang bekerja, sedangkan ketika itu dia sedang berkabung.

Cuti paterniti 7 hari belum dikuatkuasakan di Sabah

Perkara itu mendapat perhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah yang kemudian membuat siasatan terhadap majikan Exly.

Timbalan Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, siasatan mendapati Exly diberi cuti paterniti selama dua hari untuk urusan berkaitan. Malahan, Exly dibenarkan untuk mengambil cuti tahunan sehingga urusan selesai.

Untuk pengetahuan, cuti bersalin untuk bapa atau paterniti selama tujuh hari hanya dilaksanakan di Semenanjung, tetapi belum dikuatkuasakan di Sabah.

Selepas enam hari kelahiran, pekerja itu datang bekerja serta memaklumkan kepada pengurusan syarikat bahawa isteri dan anaknya sihat. Bagaimanapun pada hari itu juga, apabila pulang dari kerja, pekerja terbabit mendapati isterinya meninggal dunia di samping anak yang baru lahir.

Majikan memaklumkan bantuan segera disalurkan termasuk membantu urusan di hospital selepas mengetahui kejadian itu.

Majikan bayar gaji penuh selepas dinasihat oleh JTK Sabah

Siasatan JTK turut mendapati majikan memotong gaji pekerja itu selama 13 hari semasa tempoh berkabung. Namun tindakan itu dilakukan kerana Exly tidak membuat permohonan cuti tahunan.

Namun, potongan tersebut telah ditarik balik dan majikan membayar gaji penuh. Sedangkan mengikut undang-undang, pekerja perlu bekerja genap setahun bagi melayakkan cuti tahunan. Tetapi atas nasihat JTK Sabah, majikan bersetuju memberi cuti bergaji selama pekerja itu tidak hadir bekerja.

Exly dikatakan baru bekerja dengan syarikat itu sejak 2 Disember 2022. Bagi bulan Mei, Exly hanya hadir bertugas selama tiga hari sahaja

Setakat ini, JTK belum dapat berjumpa dengan Exly yang masih trauma dan meminta diberikan masa.

Justeru, Mustapha meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak. Siasatan JTK Sabah mendapati majikan mematuhi peraturan dan tidak melanggar peraturan Ordinan Buruh Sabah.

Sumber: Harian Metro (Izwan Abdullah)

LihatTutupKomentar