-->

Angkara ayah nikah sembunyi di Thailand anak perempuan terkahwin dengan abang kandung sendiri

Setiap perkahwinan harus didedahkan atau dihebahkan kepada umum agar tidak berlaku sebarang fitnah dikemudian hari. Selain itu, ia bertujuan untuk mengelakkan perkahwinan antara saudara kandung sendiri.

Kisah itu bukan dongengan, tetapi realiti yang perlu dihadapi oleh seorang wanita apabila mengetahui dia sebenarnya berkahwin dengan abang kandungnya sendiri. Perkara ini telah dikongsikan oleh seorang peguam yang telah berjumpa dengan wanita terbabit.

“Wanita ini dengan tenang menceritakan kemudian, dahulu bercinta dengan lelaki yang dikenali di universiti. Tiga tahun bercinta, jadi sudah plan untuk berkahwin selepas grad.

“Masa kenal, tak pernah jumpa dengan ayah lelaki tersebut. Katanya sudah meninggal. Wanita ini juga telah kematian ayah. Jadi, tak ada perkara yang curiga pun,” katanya.

Cerita ibu mertua timbulkan rasa curiga

Selepas dua tahun perkahwinan, mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata. Namun, rahsia terbongkar apabila ibu mertuanya menceritakan mengenai status perkahwinannya dengan bapa mertua yang berlangsung di sempadan Thailand.

“Sewaktu wanita ini bersembang kosong dengan ibu mertuanya, terungkitlah kisah yang dia dulu ada berkahwin dengan ayah kepada suaminya tersebut di Sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa. Hinggalah selepas anak mereka dilahirkan iaitu suami wanita ini sekarang, suaminya menceraikannya.

“Dan kemudian, tidak pernah ambil peduli tentang mereka berdua, dan ibu mertuanya ini pun tak pernah terfikir untuk membuat pengesahan nikah,” katanya.

Keinginan wanita ini untuk melihat Sijil Pernikahan ibu mertuanya tersebut menjadi terbuak-buak apabila mendapat tahu tentang ibu mertuanya bernikah di sana. Alangkah terkejutnya, apabila mertua menunjukkan nama ayah mertua yang telah meninggal itu adalah sama seperti nama ayah wanita tersebut.

“Terkedu lidah. Bahkan nombor kad pengenalan juga passport sama. Dia tekad untuk menyoal, bagaimana ciri-ciri ayah mertuanya itu.

“Orangnya tinggi, kulit hitam manis, rambutnya lurus. Dulu, dia ajak ibu mertuanya nikah di Siam kerana tidak dapat restu. Bahkan, katanya dia tidak ada sesiapa, duda katanya.

“Apabila ditunjukkan gambar almarhum ayah mertua yang terselit dicelah fail sijil nikah tersebut, terkejut beruk wanita itu,” tulisnya.

Wanita ini segera pulang ke rumah ibunya dan menceritakan segalanya kepada keluarga.

“Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah… menjerit dia dan berlari keluar rumah dan terus pandu keretanya pulang ke rumah keluarganya.

“Suami wanita ini tiba lebih kurang satu jam selepas balik daripada tempat kerja secara kecemasan. Bimbang apa-apa berlaku kepada isterinya. Selepas diceritakan segalanya, biru pucat suaminya tersebut. Menangis air mata mengalir tak henti,” tulisnya.

Pernikahan perlu di faraq kan

Menerusi kisah yang dikongsikan, peguam ini juga menjelaskan kesan yang berlaku kepada pernikahan mereka dan status anak yang dilahirkan.

“Pertamanya si ibu mertua itu perlu membuat pengesahan nikah yang sepatutnya dibuat lama dahulu. Jika sememangnya sah nikah mereka, besar kemungkinan suami kepada wanita ini sememangnya anak sah taraf kepada ibu mertua dan bapa mertua atau bapanya sendiri.

“Hubungan mereka boleh dianggap sebagai saudara sebapa, tapi berlainan ibu. Haram bernikah dengan saudara sebapa kerana dia juga adalah darah daging dari keturunan yang sama.

“Pernikahan mereka ini perlu di FARAQ kan. Maksudnya, perlu memfailkan segera permohonan Faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah atas sebab pernikahan tak sah tersebut,” katanya.

Selain itu, status anak kepada wanita ini dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah kerana ibu bapa mereka tidak mengetahui mereka ada bersaudara. Maka anak tersebut perlu dibuat Permohonan Pengesahan Nasab selepas perkahwinan mereka difaraqkan.

Anak tersebut boleh terima nafkah daripada bapanya, boleh mewarisi dan boleh diwalikan oleh bapanya.

Isu sebegini katanya perlu dititikberatkan agar tidak memberikan kesan kepada generasi akan datang.

“Kesimpulan, janganlah senyap dan sembunyi. Kalau dah bernikah secara senyap, inilah kesan yang paling besar. Kasihan kepada anak cucu yang tidak bersalah.

“Sebab itu, kita perlu menentang sekeras-kerasnya lelaki yang nak poligami secara senyap-senyap di Thailand. Ini punca kepada banyak masalah rumah tangga. Wanita pula, beringat! Jangan mudah sangat termakan pujuk rayu jantan sebegini.”

Sumber: Fahmi Ramli

The post Angkara ayah nikah sembunyi di Thailand, anak perempuan terkahwin dengan abang kandung sendiri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar