-->

2 anggota TUDM maut akibat bom lempar meletup semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin

Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan maut, manakala seorang lagi jurulatih mengalami kecederaan parah selepas bom yang dilemparkan semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, meletup, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan. Bom lempar berkenaan meletup di dalam bunker semasa proses latihan dilaksanakan.

Mangsa yang cedera parah telah diberi rawatan awal di Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin sebelum dirujuk ke Hospital Segamat.

Menteri Pertahanan ucapkan takziah kepada keluarga mangsa

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa menerusi kenyataannya disiarkan di Facebook.

“Mendapat perkhabaran duka kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, petang tadi (semalam).

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara 1 Mohd Iqmal Masdi.

“Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya.

Siasatan akan dijalankan untuk kenal pasti punca kejadian

Susulan kejadian itu, Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kes tersebut ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Dalam masa sama meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sumber: Harian Metro

The post 2 anggota TUDM maut akibat bom lempar meletup semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar