-->

Pengantin lelaki & abang iparnya maut akibat letupan daripada hadiah perkahwinan yang diberi ex-boyfriend pengantin perempuan



Polis di India menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes letupan bom yang telah membunuh seorang pengantin baru dan abang iparnya, Isnin lalu. 


Sarju Makam, 33, ditahan pada Selasa atas pertuduhan membunuh selepas dia menghadiahkan sistem teater rumah berisi bahan letupan kepada pasangan pengantin baharu itu. Bom tersebut meletup dalam bilik pengantin di Chhattisgarh, India.


Polis berkata, letupan itu berlaku selepas mangsa, Hemendra Merawi, 30, menghidupkan sistem teater tersebut. Letupan yang kuat itu telah menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian. Abang iparnya pula disahkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan. Empat lagi mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak lelaki turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 


Polis berkata, suspek meletakkan bom seberat dua kilogram itu dengan niat mahu membalas dendam terhadap bekas teman wanitanya, yang berkahwin dengan Hemendra sejak 1 April lalu. 


Sarju yang telah berkahwin, hadir ke majlis itu dan memberi hadiah tanpa menyebut namanya sebelum tergesa-gesa beredar.


"Kami mendapat maklumat mengenai letupan itu dan apabila kami tiba di lokasi, pengantin telah meninggal dunia. Pemeriksaan di lokasi menemui alat peranti elektronik yang meletup dan bau belerang di kawasan itu menimbulkan rasa curiga," katanya. 


Difahamkan, suspek bekerja di jabatan letupan di kilang penghancur batu di Indore sejak 15 tahun lalu. Dan dari situ, suspek dipercayai telah mendapatkan bahan letupan dari tempat kerjanya.


Sumber: The National News



LihatTutupKomentar