-->

Pasangan pengantin baharu ditahan, disyaki cuba mengedar dadah heroin 9.2 kilogram di parkir masjid



Belum sampai 24 jam berkahwin, pasangan pengantin baharu ditahan polis kerana dipercayai cuba mengedar dadah seberat 9.268 kilogram di kawasan parkir sebuah masjid di Chikus, Langkap, tengah hari semalam. 


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pasangan itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak  pada jam 12.30 tengah hari Selasa, selepas mendapat maklumat. 


Siasatan awal mendapati, pasangan itu dipercayai sedang menunggu kehadiran pelanggan untuk membeli dadah tersebut.


"Polis merampas sebuah beg pakaian di dalam kenderaan pasangan itu yang mengandungi 20 bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin yang dianggarkan bernilai RM77,000. 


"Jumlah rampasan itu boleh menampung keperluan 10,000 penagih. Polis percaya dadah berkenaan bagi edaran di luar daerah Hilir Perak," katanya. 


Hasil keputusan ujian saringan air kencing turut mengesahkan pasangan terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 


Pasangan itu akan direman mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama. 


Sumber: Harian Metro



LihatTutupKomentar