-->

'Doakan saya ya, teraniaya ni' - Boy Iman & tiga tertuduh lain mengaku tidak bersalah scam peniaga



Pelakon Boy Iman hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana didakwa terbabit dalam kes penipuan penganjuran festival Hooray X Fest Raya di World Trade Centre Kuala Lumpur baru-baru ini. 


Nourul Iman Abdul Rahman, 43, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahna boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda. 


Boy Iman yang sebelum itu ditemui wartawan memaklumkan dirinya telah dianiaya. 


"Doakan saya ya, teraniaya ni," katanya.


Mengikut pertuduhan, Boy Iman dan tiga yang lain didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan dan penyewaaan tapak perniagaan di festival Hooray X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM1,500.


Kesalahan itu dilakukan di World Trade Center (WTC) pada jam 2.34 pagi, 19 April lalu.


Dalam kenyataan sebelum ini, Boy Iman juga menjelaskan dia tidak patut dipersalahkan dalam kes tersebut kerana dia hanyalah pekerja makan gaji dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang menganjurkan festival tersebut. 


Bagaimanapun pada Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delihan Yahaya mengesahkan Boy Iman ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut di mana festival itu sepatutnya berlangsung pada 19 April hingga 21 April. 


Ramai peniaga yang mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan syarikat itu di mana mereka dimaklumkan mengenai pembatalan festival itu pada saat akhir. Apabila mereka cuba menuntut wang mereka dikembalikan, syarikat itu tidak dapat berbuat demikian. 


Boy Iman adalah antara empat individu lain yang ditahan berhubung kes itu. Kesemua tertuduh dilaporkan mengaku tidak bersalah. 


Keempat-empat tertuduh bagaimanapun diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport mereka diperintah diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 


Kes disebut semula pada 13 Jun depan. 


Sumber: Harian Metro, mStar Online, Oh Bulan



LihatTutupKomentar