-->

'Ayah beraya keseorangan di penjara' - Nooryana rayu diberi peluang untuk berjumpa bapanya, Najib



Tatkala yang lain sedang gembira menyambut 1 Syawal bersama keluarga, Nooryana Najwa pula berasa sedih dan merasakan hari raya kali ini tidak bermakna buat dia dan sekeluarga. 


Ini kerana bapa kesayangannya, bekas perdana menteri Najib Razak, masih meringkuk di dalam penjara, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya mereka dapat menyambut hari raya bersama. 


"Setiap tahun hari raya disambut bersama keluarga tercinta. Tahun ini amat berbeza buat kami sekeluarga beraya tanpa ayah di sisi. Yana rindu untuk berkumpul bersama keluarga meraikan hari raya dengan cukup meriah. 


"Yana amat terkesan dengan apa yang berlaku terhadap ayah sehingga beliau terpaksa beraya sendirian di penjara. Semoga Yana dapat bertemu dengan ayah di hari pertama raya.


"Menjelang raya kebiasaannya Yana akan membantu memilih warna baju raya ayah. Kami sekeluarga juga akan mendapatkan kain sepadan warna. 


"Ayah juga mengingatkan kami sediakan rendang kegemarannya, nak makan dengan lemang resepi Mak Wan dari Seremban belah ibu.


"Sebelum raya, kami semua tentunya akan menziarahi kubur atuk dan nenek. Di pagi raya, kami bersalaman memohon ampun maaf dan semestinya semua hadir bergambar sekeluarga. Tiada sudah tahun ini.


"Apakah erti raya bagi kami tanpa ayah, di mana kemeriahannya, gambar keluarga tahun ini. Raya tahun ini tidak bermakna kepada kami lagi



"Rindu, rindu yang tidak terkata. Di pagi raya Aidilfitri, apakah kami dapat bertemu. Yana merayu diberi peluang menziarahi ayah, Yana merayu dibenarkan meluangkan sedikit masa bersama, Yana merayu belas kasihan untuk bersama ayah di pagi raya.


"Yana merayu, Yana rindu kebahagiaan sekeluarga. Yana berpegang kepada secebis harapan yang ada, mendoakan sebaik-baiknya buat ayah,” katanya. 


Sumber: Kosmo! Online, Instagram Nooryana Najib




LihatTutupKomentar