-->

Suspek serang Kamal Adli direman selama 2 minggu untuk jalani ujian psikiatri



Mahkamah Singapura menetapkan lelaki yang didakwa menyerang artis Malaysia Kamal Adli akan direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

"Tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri," kata Hakim Daerah Terence Tay yang bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menahan tertuduh bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

Tay berkata, bahawa sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri di sini pada Selasa (14 Mac) kerana "terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya."

"Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu," menurut SPF dalam kenyataan.

Pada Ahad (12 Mac), kira-kira 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura sudah dimaklumkan mengenai serangan di 1 Expo Drive di mana suspek didakwa menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan cota.

Polis sudah merampas cota berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan sedang dijalankan. Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Dia dan isterinya, Uqasha Senrose, berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula Jumaat.

Menurut Uqasha, kejadian itu berlaku pada penghujung acara tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai punca suaminya diserang.

Dalam sesi live di Instgram malam tadi, Uqasha meminta netizen tidak memburukkan lagi keadaan dengan melemparkan kata-kata yang tidak baik kepada Singapura. Ini kerana apa yang berlaku adalah salah individu terbabit, bukannya negara.

"Kes ini tiada kena mengena dengan rakyat Singapura. Jangan salahkan seorang manusia tapi satu negara kena, jangan begitu. Malang itu tidak berbau, ia boleh jadi dekat mana-mana.

"Apa yang terjadi pada saya dan Kamal merupakan satu pengajaran untuk semua untuk lebih berhati-hati. Kita tak tahu siapa suka dan benci kita," katanya.

"Saya harap jangan ada orang Malaysia atau Singapura yang bergaduh sesama kita. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukan orang Singapura yang jahat tetapi sikap manusia itu sendiri. Jangan bermusuh antara kita," katanya.

View this post on Instagram

Kamal Adli melalui hantaran di platform sama turut menasihatkan netizen tidak berbalah dengan rakyat Singapura.

Kamal kini dilaporkan stabil dan dijaga oleh keluarganya dan di lokasi yang tidak dinyatakan bagi tujuan keselamatan.

"Terima kasih atas doa kalian semua. Cuma Kamal harap semua orang tolong jaga keselamatan diri kerana kita tak tahu siapa suka atau benci kita.

"Doakan untuk isteri saya yang masih trauma disebabkan isu ini. Saya sayang isteri saya. Yang ketuk saya seorang je, bukan satu Singapore. Jangan gaduh-gaduh," katanya.
LihatTutupKomentar