-->

Peserta Akademi Qurra’ keliru taranum, Tilmiz Faridzuan & Tilmizah Syafiyah tersingkir



Program realiti Akademi Qurra’ peringkat suku akhir pada minggu lalu tanpa diduga telah membuat satu lagi kejutan apabila Tilmiz Faridzuan dan Tilmizah Syafiyah tersingkir.

Penyingkiran dua peserta yang tidak pernah berada di kedudukan tercorot selama ini jelas menunjukkan pihak penerbitan rancangan Akademi Qurra’ TV AlHijrah mengambil serius dan meneliti setiap teguran juri tetap dan juri jemputan terhadap perkembangan serta persembahan bacaan peserta dari minggu pertama hingga ke minggu keenam.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pihak produksi senantiasa memantau perkembangan tilmiz dan tilmizah bermula dari episod pertama hingga ke episod keenam.



“Kesemua peserta sudah mempunyai asas taranum yang baik sebelum menyertai Akademi Qurra’. Sudah semestinya, kita mengharapkan persembahan, pemahaman serta konsentrasi yang amat tinggi sewaktu mereka melontarkan bacaan al-Quran dengan keindahan taranum.

“Sudah minggu keenam. Hanya berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum rancangan ini melabuhkan tirai. Jadi, kita mengambil serius komitmen para tilmiz dan tilmizah. Hanya peserta terbaik sahaja akan di bawa ke pentas akhir,” katanya.



Dengan penyingkiran Tilmiz Faridzuan dan Tilmizah Shafiyah, ini bermakna tujuh peserta akan ke pentas separuh akhir iaitu Tilmiz Akasyah, Tilmiz Zuhdi, Tilmiz Saifullah, Tilmiz Fahmi, Tilmizah Maghfirah, Tilmizah Nazhirah dan Tilmizah Nooraini.

Episod keenam minggu lalu yang bertemakan Keluarga al-Quran turut menyaksikan juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memberikan teguran buat Mudarris dan Mudarrisah agar memberi penekanan dan perhatian kepada taranum sikah. Menurutnya, kebanyakan peserta masih tercari-cari, tercampur serta keliru dengan taranum sikah dan taranum lain terutamanya taranum jiharkah.

Pada saingan yang berlangsung minggu lalu, Tilmizah Maghfirah telah mengatasi lapan peserta apabila berada di kedudukan teratas dengan memperoleh markah sebanyak 91 peratus. Manakala, Anugerah Alunan Terindah pula dimenangi oleh Tilmiz Akasyah yang berada di bawah bimbingan Mudarris Ammar.



Episod ketujuh Akademi Qurra’ iaitu episod separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini, 11 Mac 2023, jam 9 hingga 11.30 malam secara langsung di TV AlHijrah. Siaran ulangan boleh ditonton pada setiap Ahad, jam 3 petang.
LihatTutupKomentar