-->

'TikTokers, Influencers, kami nampak apa yang berlaku, sila tampil bayar cukai' - CEO LHDN



Media sosial kini bukan hanya dilayari untuk mendapatkan info-info terkini, malahan media sosial sudah membuka peluang kepada individu untuk menonjolkan bakat dan kreativiti. Atas dasar itu juga, lahir lah pempengaruh-pempengaruh yang mengintai ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan yang lumayan.

Namun begitu, dalam gembira menikmati upah yang diberikan, jangan lupa ada mata-mata yang memerhati kemewahan yang diraih.

Golongan pempengaruh ini antara kelompok yang diberikan penekanan untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Oleh kerana mereka bergiat secara terbuka di khalayak ramai, kami memerhati, ini sebagai peringatan bukan amaran, bahawa lembaga hasil (LHDN) nampak apa yang berlaku, tampil kehadapan, ini peluang terbaik dalam SVPD 2.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi.

Jelasnya pendapatan “Influencers dan TikTokers” boleh dinilai secara jelas melalui jumlah pengikut selain tontonan kandungan yang telah dimuat naik atas talian. LHDN juga telah melaksana inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama golongan ini bagi memahami dan mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Kami sebenarnya ada inisiatif bersama mereka dan dapat maklum balas bentuk pendapatan yang mereka terima, kami telah beri nasihat, untuk tampil dan laporkan pendapatan mereka,” katanya.

LHDN juga difahamkan telah membentuk satu unit khas bagi mengenal pasti golongan terbabit.

Untuk rekod, SVPD 2.0 ini diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Program ini membolehkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus terhadap cukai langsung dan tidak langsung yang tidak dibayar membantu menambah hasil kerajaan selain memberi manfaat kepada pembayar cukai yang ingin memanfaatkan inisiatif tersebut.

LHDN menyasarkan 50,000 pembayar cukai akan tampil dalam program pengakuan sukarela khas SVPD 2.0 mulai 1 Jun nanti hingga akhir tahun depan.

Menurut Datuk Mohd Nizom Sairi, antara kumpulan yang diharap dapat tampil adalah pemilik perniagaan yang bermula kecil dan telah berkembang dan layak membayar cukai. Ini selain golongan individu dan syarikat yang tidak pernah melaporkan pendapatan mereka sebelum ini.

Sumber: Buletin Utama
LihatTutupKomentar