-->

‘Saya sudah hilang adik saya, semua bulikan dia’

Beberapa pemegang akaun TikTok dikenalpasti terbabit dalam kes buli siber yang menyebabkan kematian seorang pempengaruh berusia 28 tahun. Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 28, meninggal dunia pada 5 Julai lalu. Esha dipercayai mengalami tekanan akibat diganggu dengan komen-komen jelik dan tidak wajar oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu, sejak sebulan lalu.

Satu laporan polis telah dibuat oleh rakan Esha di mana beliau menamakan tiga pengguna TikTok sebagai pelakunya yang menyebabkan kematian Rajeswary.

Satu mesej tangkap layar daripada mendiang turut tular mengenai laporan gangguan yang diterima daripada individu-individu terbabit.

Sementara itu, kakak kepada mendiang sebak dengan kehilangan adik bongsunya itu.

“Saya sudah hilang adik saya, saya anak sulung. Semua bulikan dia, banyak keluar dalam TikTok, carut, kotorkan nama dia, busukkan nama dia.

“Adik saya bagus dekat semua orang, dia tak ada buat salah dekat sesiapa pun. Dia seorang yang kuat. Dia buat baik je. Dia sembahyang kuat, dia bagi yang baik saja.

“Semua buli dia sebab dia perempuan, dia tak boleh tahan. Dia sudah ‘hilang’ sekarang ni,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan meneliti insiden terbabit, selain menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dengan insiden yang telah meragut nyawa pempengaruh itu.

Susulan itu juga, isu ini akan dibawa ke kabinet dalam masa terdekat supaya akta sedia ada dapat dipertimbangkan untuk dipinda.

Terdahulu, The Reporter pernah menyiarkan artikel pendedahan mendiang mengenai produk timbang kilo yang didakwa merupakan produk dari Perancis dan Sweden.

Sumber: Harapan Daily, Buletin TV3

The post ‘Saya sudah hilang adik saya, semua bulikan dia’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar