-->

Rasionalisasi subsidi RON95 mungkin akan dilaksanakan secara berperingkat – Penganalisis

Ketua Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan menjangka kerajaan berkemungkinan akan merancang untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 secara berperingkat.

Tujuannya adalah untuk mengurangkan kesan kejutan akibat kenaikan harga bahan api.

Berbanding dengan diesel, pelaksanaan rasionalisasi RON95 lebih rumit kerana ia melibatkan sekitar 36 juta kenderaan berdaftar dan menyumbang sebanyak RM66.7 bilion dalam jualan runcit bahan api automotif pada tahun 2023.

Walaupun kenaikan harga RON95 mungkin memberi kesan ketara kepada inflasi (5.5% daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna), pelaksanaan subsidi RON95 akan memberikan penjimatan yang lebih besar kepada perbelanjaan kerajaan.

Dengan menggunakan andaian 20 bilion liter penggunaan bahan api tahun ini, setiap 10 sen kenaikan harga bahan api akan menghasilkan penjimatan sekitar RM2 bilion dalam subsidi bahan api setahun.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini harus dilakukan dengan teliti dan mengambil kira kesediaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU). Kerajaan dijangka melaksanakan rasionalisasi RON95 paling awal pada suku keempat tahun ini sebelum disemak secara berperingkat sehingga 2025.

Penjimatan hasil daripada subsidi bahan api boleh digunakan untuk mengurangkan hutang kerajaan, meningkatkan infrastruktur dan memperbaiki sistem penjagaan kesihatan serta pendidikan.

Sumber: Harian Metro (Alzahrin Alias)

The post Rasionalisasi subsidi RON95 mungkin akan dilaksanakan secara berperingkat – Penganalisis appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar