-->

‘Ingatkan beli Honda Civic dapat show off, tapi…’ – Lelaki akui silap percaturan, kini terbeban dengan hutang

Sebelum membeli kereta, kita selalu dinasihatkan untuk mempertimbangkan kemampuan diri dan banyak faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan. Termasuk situasi kewangan, keperluan dan tanggungjawab.

Namun, ada segelintir individu yang memilih untuk mengabaikan nasihat ini dan membeli kereta yang melebihi kemampuan mereka. Akhirnya, mereka terpaksa menanggung beban hutang yang sepatutnya boleh dielakkan.

Seperti yang berlaku kepada seorang individu itu yang terpaksa menanggung beban hutang akibat membuat keputusan yang salah.

Niat nak menunjuk pada kawan, berakhir penyesalan

Pekerja swasta, Mohamad, 26, kini berdepan dengan masalah kewangan selepas membeli kereta Honda Civic berharga lebih RM100,000.

Menurut Mohamad, dia membuat keputusan untuk membeli kenderaan itu semata-mata untuk mendapatkan perhatian rakan-rakannya. Namun, Mohamad kini menyedari dirinya tidak mampu menanggung hutang bulanan yang semakin membebankan.

“Saya ingat dengan kita beli kereta Honda Civic ini, dapatlah kita tunjuk kepada rakan lain. Tapi sebaliknya berlaku.

“Duit gaji saya tidak cukup untuk menanggung hutang bulanan lain. Saya tinggal di Kuala Lumpur, gaji itu tidak setimpal dengan kereta yang saya beli,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terpaksa guna kad kredit bayar hutang

Faktor utama masalah ini adalah disebabkan gaji bulanan Mohamad hanya RM4,000 sahaja. Walaupun pendapatan tersebut dilihat cukup untuk bayaran kereta, kos-kos lain seperti sewa rumah, tempat letak kenderaan, insurans diri, tol dan makanan juga perlu diambil kira. Selain itu, insurans kereta, cukai jalan dan servis kereta yang mahal turut menambah beban kewangan.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila Mohamad menggunakan kad kredit untuk menanggung bayaran hutang bulanan yang sedia ada.

Mohamad mengakui keputusan membeli kereta itu adalah kesilapan yang paling besar sehingga memaksa dia membuat penstrukturan kewangannya semula.

Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid)

The post ‘Ingatkan beli Honda Civic dapat show off, tapi…’ – Lelaki akui silap percaturan, kini terbeban dengan hutang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar