-->

Terima rasuah lebih RM1 juta, pegawai JAIPs & imam masjid antara yang direman

Tiga lelaki termasuk pendaftar perkahwinan jabatan kerajaan di Perlis direman pada 5 Jun lalu sehingga semalam bagi membantu siasatan kes rasuah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.

Tiga individu tersebut merupakan seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), seorang imam sebuah masjid dan seorang individu lagi (pemilik syarikat) berusia 25 hingga 52 tahun.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar.

Menerusi satu laporan, suspek pertama dipercayai menerima wang rasuah RM1.18 juta daripada pemilik syarikat terbabit bagi membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di jabatan agama di Perlis tanpa melalui prosedur ditetapkan.

“Suspek pertama ini dipercayai telah berurusan dengan pemilik syarikat berkenaan menerusi bapanya yang bertindak sebagai orang tengah.

“Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan berkenaan dari 2022 hingga 2023 dan telah menerima wang rasuah keseluruhannya dianggarkan RM1.18 juta,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber: Sinar Harian

The post Terima rasuah lebih RM1 juta, pegawai JAIPs & imam masjid antara yang direman appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar