-->

Rumah Kieda Crepe dipecah masuk, peti besi mengandungi barang kemas bernilai RM800K dibawa lari

Usahawan yang dikenali sebagai Kieda Crepe mengalami kerugian sebanyak RM800,000 apabila rumahnya dimasuki perompak dua bulan lalu.

Insiden yang berlaku di Kepala Batas itu dikongsikan oleh Kieda menerusi media sosialnya. Katanya, setelah 40 hari, dia dan suami baru mempunyai kekuatan untuk berkongsi dan bercerita tentang insiden yang berlaku.

@kiedacrepepenang

Genap 40 hari kieda mengira hari… Tiada apa yang kieda harapkan.. semoga si Pelaku cepat-cepat ditangkap bersama bahan bukti🤲🏻 “Semoga sedihku, sakitku, susahku, sabarku, hari ini akan berubah menjadi bahagia untuk ku di hari esok.” Aamiin 🤲 @AMY KIEDA MERCHANDISE @KiedaCrepeHouse

♬ original sound – KIEDACREPEPENANG – KIEDACREPEPENANG

Kejadian disedari Kieda dan sekeluarga ketika mereka pulang ke rumah setelah selesai urusan berniaga pada 25 April lalu antara jam 8 malam hingga 11 malam.

“Pada hari berkenaan, kami baru balik ke rumah pada jam 11.40 malam. Suami, Hilmy masuk ke rumah dahulu sementara saya dan anak-anak berada di dalam van.

“Suami menyedari ada yang tak kena dengan rumah kami apabila mendapati keadaan rumah tidak seperti biasa kerana langsir terangkat dan ada sepasang baju kurung atas kusyen.

“Jam 7 malam hari sama, dia pulang ke rumah untuk menyediakan keperluan sekolah anak dan mengemas rumah,” katanya.

Melihat keadaan diluar dari kebiasaan, Hilmy meminta Kieda menghubungi sepupunya yang tinggal berdekatan dan menyuruh Kieda dan anak-anak tunggu di dalam van serta mengunci pintu bagi tujuan keselamatan.

“Suami dan sepupu telah memeriksa sekeliling rumah dan mendapati salah satu tingkap telah pecah. Ada kesan cungkil dan disepak.

“Perompak hanya menggeledah bilik. Kami syak mereka(perompak)baru masuk kerana kesan tapak kasut masih basah dan bau badan yang sangat busuk.

“Bila kami dah kemas bilik, baru perasan ada satu yang hilang,iaitu peti besi yang ada barang kemas bernilai RM 800,000,” katanya.

Peti besi berat 200 kilogram

Kieda juga berkongsikan peti besi anggaran berat 200 kilogram itu disimpan dalam almari. Laporan polis dibuat sebaik sahaja kedua-dua belah keluarga datang ke rumah mereka untuk melihat keadaan yang berlaku.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman mengesahkan kejadian itu.

Kata Zulkeflee, polis menerima dua laporan polis daripada mangsa iaitu pada hari kejadian dan dua hari selepas kejadian.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan tiada sebarang petunjuk berikutan tujuh cap jari yang ditemui di lokasi kejadian, tiada di dalam pangkalan data kami.

“Selain itu, kamera litar tertutup di rumah mangsa juga telah rosak untuk membolehkan kami menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menambah, jumlah kerugian masih belum dapat disahkan berikutan polis belum menerima dokumen barangan yang hilang.

Sumber: Kieda Crepe Penang, Sinar Harian

The post Rumah Kieda Crepe dipecah masuk, peti besi mengandungi barang kemas bernilai RM800K dibawa lari appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar