-->

Kerajaan turunkan harga telur ayam gred A, B, C sebanyak 3 sen sebiji untuk ringankan beban kos sara hidup rakyat

Dalam usaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga runcit telur ayam gred A, B, dan C sebanyak 3 sen sebiji di seluruh negara.

Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengembalikan hasil penjimatan dari penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula hari ini harga runcit untuk telur ayam gred A adalah 42 sen, gred B 40 sen, dan gred C 38 sen sebiji.

Sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan bagi menampung subsidi keperluan makanan rakyat yang melibatkan telur ayam pada kadar 10 sen sebiji. Untuk tahun 2023, peruntukan subsidi bagi telur ayam mencapai RM927 juta.

Menurut Anwar, penyesuaian harga ini juga akan dilakukan di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan mengambil kira perbezaan bahagian dan zon yang telah diwartakan.

Kerajaan komited dalam menangani isu kos kehidupan rakyat secara proaktif dan berkesan, serta akan terus berusaha untuk meminimumkan kesan negatif terhadap kehidupan harian rakyat akibat perubahan ekonomi.

Harga minyak masak sawit masih kekal

Selain itu, harga minyak masak sawit tulen masih dikekalkan pada kadar yang sama sejak kerajaan MADANI mengambil alih kepimpinan Putrajaya.

Harga bagi kemasan botol adalah RM6.90 untuk 1kg, RM13.30 untuk 2kg, RM19.60 untuk 3kg dan RM30.90 untuk 5kg, walaupun terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia yang telah melebihi ambang RM3,890 per tan metrik.

Sumber: Bernama via Harian Metro

The post Kerajaan turunkan harga telur ayam gred A, B, C sebanyak 3 sen sebiji untuk ringankan beban kos sara hidup rakyat appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar