-->

Akui satu kekhilafan, MPP UiTM mohon maaf pelaksanaan #MahasiswaUiTMBantah

Baru-baru ini berlaku protes dalam kalangan pelajar UiTM terhadap cadangan untuk membuka sementara kemasukan ke institusi itu kepada tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat pakar dalam bidang kardiotoraks.

Sebagai tanda protes dan menyokong gesaaan MPP UiTM juga, mereka berpakaian hitam dalam kempen #MahasiswaUiTMBantah. Protes berkenaan mengundang pelbagai persepsi umum.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ibrahim Abu Shah bagaimanapun menyatakan sokongannya agar institusi pengajian tinggi (IPT) itu membuka sementara ruang untuk pegawai perubatan bukan bumiputera menyambung pengajian ke peringkat pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

UiTM satu-satunya universiti tawarkan program

Katanya, ketika ini UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks. Oleh yang demikian, UiTm tidak sewajarnya memebiarkan pelajar berkenaan begitu sahaja dibimbangi akan timbul masalah dari aspek kualiti doktor dalam bidang berkenaan.

“Hal ini melibatkan nyawa orang awam, justeru mereka (pegawai perubatan tempatan) harus dilatih ikut silibus yang betul,” katanya.

Susulan itu juga, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam satu kenyataan memohon maaf secara terbuka berhubung kempen #MahasiswaUiTMBantah yang digerakkan baru-baru ini.

MPP UiTM akui kekhilafan

MPP UiTM mengakui tidak menerangkan kronologi kes yang sebenar dan gagal mengolah pemakluman penuh yang lebih jelas. Tindakan tersebut ujarnya sebagai satu kekhilafan dan menjadi pengajaran kepada mereka.

“Setelah diteliti, kami mengakui bahawa kenyataan yang telah dikeluarkan pada 14 Mei 2024 baru-baru ini adalah sedikit mengelirukan apabila kami tidak menerangkan aspek kronologi kes yang sebenar.

“Tambahan pula, interpretasi perkara 153 juga kami tidak jelaskan dengan sebaiknya menyebabkan timbul salah faham kepada umum.

“Sesungguhnya perkara ini adalah di luar jangkaan kami dan kami menerima perkara ini sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas,” katanya.

Dalam pada itu, mereka turut mengambil maklum kepentingan dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa serta isu 3R(kaum, agama, raja) menerusi medium maya.

“Lantaran perkara yang telah berlaku, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen ini berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan.

“Sehubungan itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka.

“Pandangan dan maklum balas yang diterima sangat penting bagi kami dalam menjernihkan isu ini dengan baik,” katanya.

Sumber: MPP UiTM Shah Alam, Malaysia Kini

The post Akui satu kekhilafan, MPP UiTM mohon maaf pelaksanaan #MahasiswaUiTMBantah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar