
Sejumlah 180 tan metrik beras putih tempatan yang dianggarkan bernilai RM405,000 disorok di sebuah kilang beras di Kedah. Susulan itu tindakan tidak bertanggungjawab itu, kilang tersebut telah disita menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.
Menurutnya, lokasi dan nama syarikat tidak didedahkan supaya tidak mengganggu kes yang masih dalam siasatan dan operasi ini merupakan sitaan pertama di bawah OP PBT.


Chan berkata kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang berkenaan, supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta anggota-anggota pasukan petugas, akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan sedia ada.
Chan berkata setakat ini, pasukan petugas OP BPT telah melakukan pemeriksaan ke atas lapan pemborong dan enam pengilang beras di Kedah, bagi mengesan sebarang kegiatan menyorok beras, menukar kampit dan mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import.
Sumber: Bernama
The post Kilang beras di Kedah disita, disyaki sorok 180 tan metrik beras putih tempatan bernilai RM405k appeared first on The Reporter.