-->

Berang tak dapat RM20 untuk membeli dadah, bekas tentera sanggup belasah ibu kandungnya

Tak dapat duit RM20 untuk beli dadah, anak belasah ibu kandung dalam kejadian di Tanah Merah, Kelantan


Gara-gara tidak diberi wang RM20 untuk membeli dadah, seorang bekas tentera tergamak membelasah ibunya sehingga cedera dalam kejadian yang berlaku di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, Kelantan, kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.08 petang daripada ahli keluarga mangsa. 


Berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 32 tahun itu tinggal bersama dengan ibunya, selepas dibuang kerja pada tahun 2013 dan kini terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Selain itu, suspek juga merupakan pemegang kad OKU mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 


Pada hari kejadian, suspek dikatakan telah meminta wang sebanyak RM20 daripada mangsa. Tetapi mangsa yang berusia 65 tahun itu tidak mempunyai wang. 


Berang permintaannya tidak dipenuhi, suspek bertindak menarik, memukul, memijak, menampar dan menyepak ibunya. Namun, suspek tidak menyedari perbuatannya itu dirakam oleh anak saudaranya yang tinggal berdekatan.


Mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala, dahi, mata dan sakit-sakit badan. 


Difahamkan, itu bukan kali pertama mangsa dipukul. Suspek juga dikatakan kerap mengamuk dan meminta wang daripada ibunya.


Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek dan menjalani ujian saringan air kencing. Keputusan mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah. 


Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga


Sumber: Kosmo! Online

LihatTutupKomentar